Apa itu urf dalam islam

Usul Fikh adalah ilmu membahaskan kaedah-kaedah yang digunakan untuk menghasilkan hukum syarak daripada dalil-dalil terperinci.[1]

Ia merangkumi empat perbahasan penting, iaitu perbahasan mengenai madlul (hukum), sumber dalil, dilalah (petunjuk dalil) dan mustadil (orang yang mengeluarkan hukum dari dalil).[2] Menurut Al-Thufi, para ulama telah membincangkan sebanyak sembilan belas perkara yang boleh dijadikan sandaran dalam pengeluaran hukum syarak, apabila membahaskan soal dalil-dalil syarak,[3] antaranya yang disepakati seperti Al-Quran dan Hadis, manakala terdapat juga yang diperselisihkan seperti Istihsan dan fatwa sahabat.

Namun sebahagian ulama berpendapat jumlahnya melebihi dari itu. Dr. Abdul Rahman Al-Sayih berpendapat sumber dalil yang diperbahaskan ulama mencapai sebanyak dua puluh enam perkara.[4] Menurut perkiraan Prof. Dr. Hamdi Subhi pula, ia mencapai lebih daripada lima puluh perkara.[5]

Di antara sumber untuk mengeluarkan hukum syarak yang sering disebutkan oleh para ulama adalah`Urf  (adat kebiasaan).

Mengambil kira`urf adalah perkara yang amat penting di dalam pengeluaran hukum syarak,[6] sehingga para ulama melarang mufti mengeluarkan fatwa hanya berdasarkan pendapat dalam mazhabnya hingga mengabaikan kebiasaan setempat.[7] Di samping itu orang yang hendak berfatwa juga haruslah memiliki kemampuan untuk mengenali hukum yang dikeluarkan Nabi s.a.w, para sahabat dan ulama silam yang berdasarkan`urf semasa, supaya beliau tidak menerapkan hukum tersebut ke atas masyarakat yang berlainan`urfnya sehingga kelihatan keputusannya itu menyusahkan dan menyempitkan.

Definisi `urf

`Urf dari segi bahasa dapat diertikan dengan, sesuatu perkara yang telah terbiasa dan kerap dilakukan oleh manusia. Ia juga bermakna ketenangan dan kebaikan.[8]

Dari sudut istilah pula, para ulama telah menyebutkan beberapa pengertian yang mengandungi makna yang hampir sama. Ia dapat dirumuskan sebagai sesuatu yang telah biasa dilakukan oleh masyarakat dari perkataan dan perbuatan yang diterima oleh akal yang sihat dan fitrah yang bersih serta tidak bertentangan dengan syarak.[9]

Hubungan `urf dengan adat[10]

Perkataan `urf dan adat adalah dua istilah yang sering digunapakai oleh para ulama dalam kitab-kitab mereka. Sebahagian ulama menganggap kedua istilah ini adalah serupa. Terdapat juga yang berpendapat bahawa `urf adalah kebiasaan dalam muamalah (aktiviti yang melibatkan transaksi antara manusia seperti jual beli) sedangkan adat adalah kebiasaan di luar lingkup muamalah. Ada juga pandangan yang mengatakan  `urf adalah kebiasaan dalam memahami makna perkataan tertentu sementara adat adalah kebiasaan dalam perbuatan. Pendapat seterusnya menyatakan bahawa adat lebih umum berbanding `urf kerana ia merangkumi kebiasaan yang dilakukan oleh masyarakat dan orang persendirian, adapun `urf ia adalah kebiasaan yang dikhususkan untuk masyarakat sahaja.

Apa itu urf dalam islam

Adat di dalam satu masyarakat[11]

Adat adalah kaedah sosial yang sistematik untuk dijadikan pegangan bagi mengatur tatanilai dan struktur masyarakat agar terdapat perbezaan di antara manusia dan haiwan. Ia merangkumi segenap perkara daripada cara memanggil orang sehinggalah kepada adat pergaulan antara individu. Ia juga diertikan dengan kebudayaan yang mengandungi norma-norma yang mengatur sesebuah masyarakat. `Urf juga merangkumi upacara yang mesti dilakukan sebagai kelaziman dalam kitaran hidup manusia.

Tujuan adat dalam sesebuah bangsa adalah mewujudkan keharmonian dalam masyarakat yang akan membawa kepada keseimbangan dalam pelbagai aspek kehidupan seperti ekonomi, sosial, politik dan sebagainya. Adat sesebuah bangsa itu tercipta dengan pelajaran yang didapatkan oleh nenek moyang melalui proses pemerhatian akan aturan-aturan yang telah ditentukan oleh Allah taala sebagai pencipta. Orang-orang tua akan menjawab ketika ditanya mengenai asal-usul sesebuah adat dengan, “Adat nan sebana (sunnatullah)”.

Adat di dalam sesebuah bangsa sangat mengutamakan hidup berbudi pekerti dan bersopan santun, kerana apabila hilangnya budi maka hilanglah segala-galanya. Setelah kedatangan Islam, adat-adat yang sedia ada dimurnikan agar selari dengan tuntutan dan prinsip-prinsip syarak hingga lahir perumpamaan seperti, “Adat bersendi syarak, syarak bersendi kitabullah dan biar mati anak jangan mati adat”.

Dari keterangan di atas dapat dirumuskan bahawa undang-undang sesebuah negara boleh dikatakan sebagai `urf kerana ia berperanan dalam menjaga keharmonian kehidupan sesebuah masyarakat sepertimana adat pada zaman silam.

Dalil `urf sebagai sumber hukum

Di antara dalil yang menunjukkan bahawa `urf itu adalah hujah, iaitu dapat mengeluarkan hukum bagi mukallaf adalah:

1. Firman Allah taala, “Jadilah kamu pemaaf dan suruhlah kepada `urf serta berpalinglah dari golongan jahil.” (Al-A`araf: 199)

Kata “`urf” dalam ayat ini ditafsirkan dengan berbagai pengertian antaranya: kebaikan, setiap perkara yang diredai oleh akal yang sihat yang tidak bertentangan dengan syarak serta kebiasaan yang baik.[12]

2. Sabda Nabi s.a.w, “Apa yang dipandang baik oleh kaum muslimin, maka ia juga baik di sisi Allah, dan apa yang dipandang buruk oleh mereka, maka ia juga buruk di sisi Allah.”[13]

3. Kesepakatan para ulama bahawa `urf adalah antara sumber hukum Islam. Mereka telah berhujah dengannya dalam banyak masalah fikih.[14]

4. Dari sudut akal pula, memutuskan sesebuah hukum tanpa mengambil kira kebiasaan yang berlaku dalam masyarakat akan membawa kesusahan. Sedangkan prinsip perundangan syarak adalah menghilangkan kesempitan dan kesusahan.[15]

Syarak menerima penglibatan `urf di dalam pengeluaran hukum bersebab ia berperanan di dalam menentukan maslahat[16] seperti nilai-nilai mulia, kesopanan dan hubungan antara manusia.[17] Hal ini kerana satu perkara yang biasa dilakukan dan diwarisi dari satu generasi ke satu generasi lain adalah petanda bahawa ia mendatangkan kebaikan selagi tidak ada dalil syarak yang melarangnya.

Penerimaan `urf di sisi empat mazhab

`Urf telah diterima oleh keempat-empat mazhab dalam proses pembuatan hukum.[18] Kebanyakan perselisihan di antara Imam Hanafi dan muridnya seperti Abu Yusuf dan Muhammad bin Hasan adalah bersebab perselisihan dalam penentuan `urf. Imam Malik pula sangat berleluasa dalam mengambil kira `urf penduduk Madinah. Sementara itu, antara penyebab perubahan fatwa Imam Al-Syafi`ii ketika tiba di Mesir adalah perbezaan `urf di daerah itu dengan daerah Irak.[19]

Keluasan penggunaan `urf telah menghasilkan beberapa kaedah asas dan pegangan umum pada setiap mazhab. Antara kaedah bersangkutan dengan `urf dalam mazhab Hanafi:[20]

• “Perkara yang disyaratkan melalui `urf, sama seperti yang disyaratkan melalui syarak (nas)”.

• “Sesebuah `urf itu adalah seperti syarat”.

• “Sumpah itu terbina hukumnya di atas `urf, bukan hakikat bahasa”.

Bagi mazhab Maliki pula

• “Adat itu seperti syarat, dapat mengkhususkan yang umum”.[21]

• “Pada setiap zaman dan ibadah, pakaian yang bersesuaian dengannya”.[22]

• “Siapa yang memiliki kebiasaan, hendaklah beramal dengannya”.[23]

Kaedah mazhab Syafie pula mengatakan:[24]

• “Adat itu menjadi hukum”.

• “Setiap yang tidak mempunyai batasan dalam syarak, hendaklah diambil batasannya dari `urf”.

Mazhab Hanbali juga menyebutkan kaedah yang khusus mengenai `urf seperti:[25]

• “Dikhususkan keumuman lafaz mengikut adat berbanding nas”.

• “Didahulukan hakikat `urf, keatas hakikat bahasa”.

Apa itu urf dalam islam

Pembentukan `urf

Seperti yang telah disebutkan, adat dalam satu masyarakat tercipta melalui pengalaman dan pemerhatian orang dahulu kala akan kejadian alam. Di sisi ilmu usul fikh, `urf itu boleh tercipta dengan beberapa sebab:[26]

Pertama ialah darurat (keperluan asasi), iaitu perkara yang diperlukan untuk kelangsungan kehidupan. Perkara itu kemudiannya boleh berterusan sehingga menjadi kebiasaan umum atau terhenti ketika hilangnya darurat.

Seperti keperluan sesebuah kerajaan terhadap sistem pertahanan dalaman dan luaran dengan membentuk kumpulan risikan, melatih pemuda-pemudanya dengan kemahiran ketenteraan, pertahanan awam dan sebagainya. Contoh yang lain adalah kebiasaan yang terjadi bersebab wabak Covid-19, seperti penjarakan  sosial, pemakaian pelitup, membawa sejadah sendiri ke masjid, membawa masuk kasut ke dalam dewan sembahyang dan sebagainya.

Kedua ialah hajat, iaitu sesebuah kebiasaan yang tercipta kerana keperluan manusia kepadanya. Jika kebiasaan ini ditinggalkan, kehidupan masyarakat akan menjadi susah, kacau bilau dan tidak terurus, tapi tidak membahayakan kelangsungan hidup.

Seperti perundangan yang digubal bagi melancarkan proses penjualan rumah, undang-undang jalan raya dan sebagainya. Jika undang-undang ini tidak dipatuhi masyarakat secara umumnya akan mengalami kesempitan dan kesusahan.

Ketiga ialah kehendak penguasa, iaitu sesebuah perkara yang dikehendaki menjadi kebiasaan oleh seseorang atau sebuah badan yang berkuasa. Seperti adat istiadat kesultanan, protokol parlimen dan sebagainya.

Keempat ialah warisan orang terdahulu, iaitu perkara yang diciptakan oleh orang dahulu kala dengan maksud tertentu kemudian diwarisi turun temenurun sehingga menjadi kebiasaan. Misalnya tunduk ketika berjalan di hadapan orang tua dan ungkapan-ungkapan adat yang membawa mesej tertentu seperti ungkapan menganjurkan kehidupan harmoni contohnya, “adat hidup berbilang bangsa, pantang sekali hina menghina, pantang pula cerca mencera” dan “adat hidup berlainan akidah, sama bijak menjaga lidah, sama arif memelihara langkah, sama bijak mengatur tingkah”.

Kelima ialah ikutan semata-mata, iaitu kebiasaan yang berasal dari budaya luar yang diikuti oleh sesebuah bangsa sehingga menjadi kebiasaan bangsa tersebut. Seperti jamuan Nasi Briyani dalam majlis walimah bangsa Melayu, cara berpakaian, kesenian dan sebagainya.

`Urf yang diakui syarak

`urf berdasarkan pengiktirafan syarak terbahagi kepada dua jenis:[27]

Pertama ialah`urf fasid, iaitu kebiasaaan dari perkataan atau perbuatan yang terdapat dalil syarak yang menolaknya serta mengkehendakinya diberhentikan. Contohnya pakaian kebudayaan yang melanggar tuntutan syarak dalam menutup aurat, nama yang mengandungi maksud tidak baik dan sebagainya.

Termasuk dalam `urf fasid adalah kebiasaan yang didasari kepercayaan tertentu seperti mandi tolak bala pada Rabu terakhir bulan Safar, kemestian menutup cermin ketika ada jenazah di dalam rumah dengan alasan dikhuatiri ruh akan melihat dirinya dan sebagainya. Sesebuah kebiasaan dikira fasid juga jika ia menyalahi larangan umum seperti meletakkan windmill atau payung di atas kubur, ia adalah pembaziran dan perbuatan sia-sia yang tidak mendatangkan manfaat kepada si mati atau penziarah.

`Urf fasid hendaklah ditinggalkan dan haram melakukannya kerana ia bertentangan dengan tuntutan syarak.

Kedua ialah`urf sahih, iaitu kebiasaan dari perkataan dan perbuatan yang tidak mempunyai dalil yang menolaknya atau melarangnya. Ia terbahagi kepada dua jenis pula, iaitu[28]

• `Urf yang jelas diakui syarak, iaitu kebiasaan yang mempunyai dalil menganjurkannya walau dari dalil umum seperti memberi duit raya, ia terangkum dalam suruhan umum bersedekah dan menggembirakan kanak-kanak.

• `Urf mursal, iaitu kebiasaan yang tidak mempunyai dalil yang menganjur atau melarang melakukannya, seperti tarian kebudayaan yang tidak melanggar syariat, berpantun, meraikan hari guru, berdiri ketika mendengar lagu kebangsaan, majlis memperingati hari kebesaran Islam dan sebagainya.

`Urf dalam bahagian ini adalah baik untuk dilaksanakan kerana jika ia selari dengan ajaran Islam atau terkandung di dalamnya maslahat serta nilai-nilai murni.

Sesebuah `urf itu perlu diteliti dengan amat cermat terlebih dahulu sebelum digolongkan ke mana-mana jenis kerana berkemungkinan `urf itu secara zahirnya bertentangan dengan nas, namun kajian lanjutan yang teliti terhadap latar belakang `urf tersebut mendapati ia boleh diselarikan dengan prinsip syarak dan disesuaikan dengan sesebuah bab dalam fikih.

Seperti pembahagian tanah adat menurut adat pepatih yang berkonsepkan sistem sanak ibu (matriliner) yang secara zahirnya menyalahi hukum Faraid. Namun ketika diteliti pada kebiasaan masyarakat Minangkabau, tanah sangat bermakna sebagai sumber ekonomi kerana mereka adalah masyarakat tani. Kaum lelaki mereka pada kebiasaannya akan merantau mencari rezeki, maka bagi menjamin keberlangsungan hidup kaum wanita, tanah adat diamanahkan kepada mereka agar tidak jatuh ke tangan suku lain. Sistem ini jika dikaji dapat diselarikan dengan konsep Ihya’ Al-Mawat (menghidupkan tanah terbiar), wakaf zurri (ahli keluarga), teori takharuj dalam faraid, sulh dan pemegang amanah yang menjaga hak milik suku kaum, kerana tanah adat dimiliki oleh sesebuah puak bukannya individu. Oleh kerana `urf ini boleh disesuaikan dengan prinsip Islam, ia tidak dianggap sebagai `urf fasid bagi sesetengah ulama.[29]

Demikian juga dengan kontrak Joint Tenancy dalam pembelian rumah HDB. Secara zahir, kontrak ini seakan menidakkan hak faraid dari para waris kerana setelah kematian salah seorang pemilik bersama, rumah itu secara mutlak akan menjadi milik pemilik bersama kedua yang masih hidup disebabkan right of survivorship. Namun, apabila diambil  kira rumah itu sebagai perkara daruriyyat (keperluan asasi bagi hidup) sehingga ia menjadi nafkah wajib ke atas suami dan kesulitan  untuk membeli rumah semula di Singapura serta ketentuan perundangan Joint Tenancy menunjukkan kehendak para pemilik untuk tidak membahagikan rumah mengikut faraid jika berlaku kematian, fatwa MUIS pada 2019 membenarkan pemilik bersama yang hidup untuk memiliki rumah tersebut secara mutlak.

Apa itu urf dalam islam

Syarat Penerimaan `Urf[30]

Para ulama telah meletakkan syarat dalam penerimaan `urf seperti berikut:

1. Hendaklah `urf itu tidak bertentangan dengan nas.

2. Hendaklah `urf bersifat `ammah, iaitu telah menyebar secara meluas.[31] Ini bermakna `urf yang diamalkan oleh beberapa orang dalam masyarakat tidak di ambil kira.

Contoh `urf yang tersebar luas adalah pemberian beg plastik secara percuma oleh penjual kepada pembeli dan pada sesetengah masyarakat pembeli tidak perlu meminta izin untuk mengambil beg plastik lebih jika diperlukan. Ini adalah `urf yang terpakai. Adapun kebiasaan yang berlaku di sesetengah pasaraya yang mengenakan bayaran pada setiap beg plastik tidak boleh dijadikan hukum yang umum kepada seluruh gerai dalam negeri tersebut. `Urf itu adalah dianggap kebiasaan khusus yang hanya digunakan untuk pasaraya tersebut sahaja.

3. Hendaklah `urf itu sesuatu yang masih berterusan maslahatnya. Jika maslahatnya sudah tidak berterusan, maka ia perlu ditinggalkan, akan tetapi jika `urf itu telah ditinggalkan tetapi maslahatnya masih ada, ia tetap diakui oleh syarak.[32]

Seperti mengikat kain putih di batu nisan, pada zaman dahulu ia sebagai tanda kubur itu adalah kubur orang Islam dan bagi menunjukkan arah kiblat. Masyarakat zaman dahulu juga mempunyai hari yang dikhususkan bagi menukar kain putih agar sesiapa yang mempunyai hutang atau titipan kepada ahli kubur, boleh datang pada hari tersebut untuk menemui warisnya.[33] Akan tetapi dengan peredaran zaman maslahat ini tidak lagi relevan, justeru ia perlu ditinggalkan kerana terdapat unsur pembaziran.

Manakala adat khatam Al-Quran bagi pengantin perempuan sebelum akad nikah, walaupun ia tidak diamalkan secara meluas lagi, ia tetap dihukumkan sunat bersebab tujuan dari adat ini bagi memastikan bakal ibu mempunyai kemampuan membaca Al-Quran supaya dapat diajarkan pada anak-anak yang bakal dilahirkan.

4. `Urf itu hendaklah sesuatu kebiasaan yang telah sedia ada.

Seperti tukang jahit memulangkan baju yang telah dijahit dalam keadaan bergosok, terlipat, mempunyai butang dan kain perca tidak dipulangkan. Dalam hal ini tukang jahit tidak berhak meminta upah diatas perbuatan menggosok dan melipat sebagaimana empunya baju tiada boleh menuduh tukang jahit mencuri kain percanya, kerana ini adalah `urf yang telah sedia ada. Kecuali jika terdapat perjanjian untuk meninggalkan `urf yang telah sedia ada pada awal akad.

Lapangan penggunaan `urf[34]

`Urf bukanlah sebuah dalil yang boleh mengeluarkan hukum secara bersendirian. Ia memerlukan pengesahan daripada nas untuk beramal dengannya. Oleh yang demikian peranan dan penggunaan `urf terbatas pada petunjuk kepada maslahat, penerang kepada dalil dan pembatas apa yang bersifat umum dari dalil syarak. Para ulama telah membataskan lapangan penggunaan `urf kepada:

1. Mengetahui sesebuah sifat atau kadar, seperti sedikit najis yang dimaafkan.

2. Menerangkan makna perkataan yang umum seperti kadar nafkah yang wajib, jamuan yang dikira memuliakan tetamu dan sebagainya.

3. Membina hukum yang tidak disebutkan syarak seperti akad-akad baru.

4. Memperbaharui hukum yang terbina atas `urf yang telah berlalu. Seperti para ulama klasik mengharamkan menepuk tangan kerana ia menyerupai adat golongan bukan Islam akan tetapi `urf itu telah berubah dan tidak lagi dikhususkan untuk orang bukan Islam. Maka, harus bagi seorang muslim menepuk tangan di zaman ini.

Mendahulukan makna `urf ke atas makna syarak dalam memahami perkataan

Maksud dan makna sesebuah perkataan itu hendaklah mengikut `urf negeri atau masyarakat. Dengan itu hendaklah ditinggalkan penggunaan syarak bagi sesebuah perkataan dan diambil kebiasaan penggunaan masyarakat setempat dalam memahaminya.[35] Berkata Al-Qarafi, “Memahami maksud perkataan seseorang adalah dengan mengikuti kebiasaannya”[36]

Contohnya ialah Allah taala menggunakan kata daging bagi merujuk kepada isi ikan. Akan tetapi masyarakat Melayu tidak menamakan isi ikan dengan daging. Oleh itu jika seseorang bersumpah untuk tidak memakan daging, harus baginya memakan ikan walaupun Allah taala menggunakan istilah daging bagi merujuk kepada isi ikan.

Seperti itu juga seseorang membeli rumah di Singapura yang dihadkan dalam tempoh 99 tahun atau kereta dengan had 10 tahun. Jika difahami perkataan menjual melalui istilah syarak, jualan rumah dan kereta di Singapura adalah tidak sah dan akan membawa implikasi hukum pada masalah lain seperti warisan, penyewaan, pengubah suaian, bahkan sembahyang di rumah yang tidak dimiliki secara syarie dihukumkan batal oleh mazhab Hanbali. Bersebab itu, ia perlu difahami melalui makna `urf dalam perundangan Singapura.

Penutup

Ibn `Abidin menegaskan bahawa, kebanyakan masalah fikih yang berasal dari ijtihad terdiri di atas kebiasaan yang berlaku pada zaman para imam mujtahid tersebut. Jika mereka bertemu dengan zaman yang kebiasaan itu telah berubah, pasti mereka akan menukar ijtihad mereka bersesuaian dengan kebiasaan yang baru.[37]

Disebabkan ini mereka yang hendak mengeluarkan fatwa hendaklah mempunyai pengetahuan yang luas mengenai kebiasaan masyarakatnya supaya dia tidak memaksakan hukum di dalam kitab yang terbina di atas `urf  zaman dahulu kepada masyarakat zamannya yang berlainan `urf mereka. Ini sudah tentu akan mendatangkan kesusahan dan kesempitan kepada masyarakatnya.


Rujukan

[1] Haji Hasan Ahmad (2002), Usul Fikh, ms. 7.

[2] Iyadh Al-Salmi (2005), Usul Al-Fiqh Alladzi La Yasa’ Faqih Jahluhu, ms. 17;  Amir Bahjat (t.t.), Thariq Ila Ilm Usul Al-Fiqh, ms 25.

[3] Al-Tufi (1993), Ria`yah Al-Maslahah, ms.13.

[4] Al-Sayih (1993), Ta`liq Ria`yah Al-Maslahah, ms. 13-4.

[5] Hamdi Subhi (t.t.), Al-Ilmam Bi Al-Mukhtalaf Fih Min Usul Al-Ahkam, ms. 4.

[6] Mohd Anuar Ramli (2006), “Instrumen Urf dan Adat Melayu Sebagai Asas Penetapan Hukum Semasa di Malaysia”, Jurnal Pengajian Melayu, jld. 17, ms. 258.

[7] Ibn `Abidin, Majmuah Rasail Ibn `Abidin (Naysr `Urf Fi Bina’ Ba`dh Ahkam `Ala Al-`Urf), jld 2, ms. 115.

[8] Ibrahim Anis (t.t.), Al-Mu`jam Al-Wasit, ms. 625; Al-Zubaidi (2012), Taj Al-`Arus, jld. 24, ms. 74.

[9] Haji Hasan Ahmad (2002), ms. 336; Irwan Subri (2016), Pengantar Usul Fikh, ms.115.

[10] Sa`ud Al-Waraqi (t.t), Al-`Urf Wa Tatbiqatuh Al-Mu`asarah, ms. 8-10.

[11] Abdul Manan Ismail (2016), Kedudukan dan Amalan Tanah Adat Menurut Prespektif Syariah, ms. 2-5; Muhammad Takari (2015), Adat dalam Peradaban Melayu, ms. 2-4.

[12] Al-Sayuthi (t.t.), Al-Iklil Fi Istinbat Al-Tanzil, ms. 110; Al-Tabari (2001), Jami` Al-Bayan, jld. 6, ms. 187.

[13] Imam Ahmad (2001), Al-Musnad, jld. 6, ms.  84. No. Hadis: 3600.

[14] Hamdi Subhi (t.t.), ms. 108.

[15] Ibid, ms. 105.

[16] Abdul Wahab Khallaf (2010), `Ilm Usul Al-Fiqh, ms. 81.

[17] Datuk Al-Azhar (2015), Nilai-nilai Asas Jati Diri Melayu Sebagai Perekat Persatuan dan Kesatuan Bangsa, ms. 7 & 23.

[18] Al-Qarafi (2004), Syarh Tanqih Al-Fusul, ms. 353.

[19] Abdul Wahab Khallaf (2010), ms. 80.

[20] Ibn Nujaim (1983), Al-Ayshbah Wa Al-Nazair, ms. 106-9.

[21] Al-Wansyirisi (2006), Adha Al-Masalik, ms. 168.

[22] Al-Maqri (t.t.), Al-Qawa`id, jld. 2, ms. 428.

[23] Ibid, ms. 334.

[24] Al-Sayuthi (2015), Al-Ashbah Wa Al-Nazair, ms.  141 & 154.

[25] Ibn Rajab Al-Hanbali (t.t.), Taqrir Al-Qawa`id, jld. 2, ms. 555-6.

[26] Al-Waraqi (t.t.), ms.  10-2; `Uthman Syubair (2007), Al-Qawa`id Al-Kulliyah, ms.  239-40.

[27] Abdul Wahab Khallaf (2010), `Ilm Usul Al-Fiqh, ms. 80; Al-Zuhaili (2004), Usul Al-Fiqh Al-Islami, jld. 2, ms.  834-5.

[28] Irwan Subri (2017), ms. 121-2.

[29] Azman Ab Rahman (2016), Kefahaman Masyarakat Negeri Sembilan Terhadap Tanah Adat, ms. 17-8, 28, 32 & 35.

[30] Muhammad Yasin Al-Fadani (1991), Fawaid Al-Janiyyah, jld. 1, ms. 300 & 308; Walid bin Ali. (t.t.), Majalat I`mal Al-`Urf, ms.  13-4.

[31] Abu Zuhrah (2008), Usul Al-Fiqh, ms. 247.

[32] Al-Syathibi (2012), Al-Muwafaqat, ms. 376.

[33] “Membalut kain putih di batu nisan” (2016), Lamanpahang.blogspot.com; Nurudin Ar. (t.t.), Tradisi Meuganggang. Majlis Adat Aceh.

[34] Walid bin Ali. (t.t.), ms.  15-22.

[35] Mahir Hamid Al-Hawli (2010), Takhsis Al-Umum Bi Al`Urf Wa Atharuh Fi Furu` Al-Fiqhiyyah, ms. 11.

[36] Al-Qarafi (2004), ms.  165.

[37] Ibn `Abidin, ms. 125.

Apa yang dimaksud dengan urf dan berikan contohnya?

Al-'Urf al-Lafzhi. Adalah kebiasaan masyarakat dalam mempergunakan lafal/ungkapan tertentu dalam mengungkapkan sesuatu, sehingga makna ungkapan itulah yang dipahami dan terlintas dalam pikiran masyarakat. Misalnya ungkapan “daging” yang berarti daging sapi; padahal kata-kata “daging” mencakup seluruh daging yang ada.

Apa contoh al urf?

Pembahasan. 5 singkat contoh al urf: Pada masa pertunangan pihak laki-laki memberikan hadiah kepada pihak wanita walaupun hadiah tersebut tidak dianggap sebagai mas kawin, hal ini tidak bertentangan dengan Al-Quran dan Hadist, karena memberikan suatu hadiah boleh-boleh saja.

Apa yang dimaksud al urf?

Al Urf al-Am adalah urf yang berlaku pada suatu tempat, masa, dan keadaan dalam cakupan yang luas dan menyeluruh. Sebagai contoh, kebiasaan memberikan tip pada orang yang telah memberikan servis atau jasanya.

Apakah urf termasuk hukum Islam?

Dalam kajian ushul fiqh, tradisi (`urf) merupakan salah satu sumber hukum Islam yang diperselisihkan. `Urf adalah sesuatu yang sudah dikenal bersama dan dijalankan oleh masyarakat, baik berupa perbuatan (`amali) ataupun perkataan (qouli).